[ad_1]
Dalam meneruskan usaha untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan belia dan komuniti, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) telah melancarkan program KPS #RideHomeSafe 2022 dan Mini Karnival Keselamatan Jalan Raya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang baru-baru ini.
Menerusi program KPS #RideHomeSafe MyLesen, KPS terus komited untuk membantu menangani jumlah penunggang motosikal tidak berlesen di kalangan golongan belia di Selangor, khususnya di kalangan keluarga B40. Pada tahun 2021, KPS telah menaja seramai 60 orang pelajar dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dari SMK Seksyen 19 Shah Alam untuk mengambil lesen motosikal secara sah. Tahun ini pula, KPS telah menaja seramai 80 orang asnaf yang layak dari PPR Lembah Subang 2.
Suzilawati Khairuddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan dan Perkhidmatan Korporat) KPS, berkata, “Statistik kemalangan jalan raya amat membimbangkan dan isu keselamatan jalan raya negara yang kian berterusan ini harus dipandang serius oleh semua pihak. Kadar kematian jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal dan remaja setiap tahun adalah amat menyedihkan.
“Hal ini berlaku kerana kebanyakan pelajar sekolah dan penunggang motosikal tanpa lesen yang sah adalah daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan kos lesen motosikal menjangkaui kemampuan keluarga masing-masing. Semoga penajaan lesen motosikal daripada KPS ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga-keluarga di sini (PPR Lembah Subang 2).”
Dalam masa yang sama, menerusi Mini Karnival Keselamatan Jalan Raya, KPS dengan kerjasama PDRM dan JPJ turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik di PPR Lembah Subang 2 termasuklah taklimat keselamatan jalan raya oleh Bahagian Keselamatan Jalan Raya, pameran PDRM dan JPJ serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. Pengunjung juga berkesempatan untuk membuat semakan dan bayaran saman JPJ, serta membuat pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor menerusi kaunter bergerak JPJ Cell di karnival tersebut.
Modul pembelajaran secara maya program KPS #RideHomeSafe ini mengandungi dua modul video dan kuiz keselamatan jalan raya yang interaktif. Peserta yang telah menamatkan modul akan diberikan e-sijil penyertaan yang menyumbang kepada benefit kokurikulum peringkat kebangsaan. Program e-pembelajaran #RideHomeSafe telah berjaya mencatat jumlah keseluruhan penyertaan seramai 103,804 pelajar dari 1,650 sekolah menengah di seluruh negara pada tahun 2021. Program e-pembelanjaran ini masih dilaksanakan sehingga 31 Ogos 2022 dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.kps-rhs.com.
[ad_2]
Source link